Monday, April 6, 2009

Tawaran Guru Rasmi - Meninggalkan Kelantan Menuju Ke Bandar Raya Selatan

Setelah hampir 9 tahun bergelar home tutor, iaitu sejak saya masih belajar di universiti, dan setelah beberapa bulan menunggu tawaran kerja, akhirnya saya telah mendapat tawaran penempatan sebagai guru sekolah tetap. Buat masa ini saya sedang mencari pengganti untuk meneruskan kerja-kerja mengajar pelajar tuisyen saya di Kelantan ini.

Cepat juga. Sekitar 1-2 bulan menunggu tawaran, sudah dapat tawaran penempatan. Teknologi pengurusan tenaga kerja di Malaysia semakin canggih. Saya baru sahaja ditemuduga bulan Februari 2009 lepas.

Saya akan berangkat meninggalkan negeri Kelantan, menuju ke satu bandar raya. Bandar raya, bermaksud, kos sara hidup yang tinggi. Di sana saya akan menghadapi 3 bulan pertama tanpa gaji. Gaji akan dibayar pada hujung bulan ketiga. Oleh itu, saya merancang untuk melakukan sesuatu bagi menampung sewa rumah, bil air, bil elektrik, minyak kereta, makan dan minum sepanjang 3 bulan nanti.

Menurut undang-undang, seorang guru sekolah tidak boleh melakukan kerja sampingan melebihi 4 jam seminggu. Dalam erti kata lain, saya perlu memanfaatkan 4 jam tersebut dengan sebaik-baiknya untuk hidup dalam 3 bulan pertama ini. 3 bulan pertama yang mencabar akan bermula minggu depan. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu berhutang, sebab seumur hidup saya, saya tidak mahu berhutang.

Lokasi terbaru saya kini ialah di Johor Bahru/Pasir Gudang.

No comments:

Post a Comment