Sunday, January 30, 2011

BUKU LATIHAN TUISYEN MATEMATIK DAN DOKTOR FALSAFAH

Tahun lepas aku dilamar penerbit buku terkenal untuk terlibat sebagai penulis buku rujukan dan latih tubi Matematik khusus untuk pelajar-pelajar sekolah. Tawaran itu memang menarik dan seterusnya akan melonjakkan lagi populariti aku sebagai seorang guru tuisyen.

Buat masa ini, aku memang sedang mengkaji dan menyusun sendiri modul-modul Matematik berdasarkan kajian yang aku jalankan di sekolah-sekolah. Modul ini bertujuan membantu pelajar-pelajar lemah dalam Matematik.

Setakat ini modul-modul yang aku gunakan telah menunjukkan bukti, mampu membantu pelajar-pelajar dari kelas paling belakang, untuk mendapat A dalam Matematik, biarpun sebelum ini mereka sering gagal dalam ujian bulanan dan peperiksaan.

Ilmu-ilmu yang aku perolehi dari Ijazah Sarjana (Bachelor Degree) Pendidikan Matematik dan kini ilmu-ilmu di peringkat Sarjana (Masters) aku gunakan untuk membantu para pelajar dalam menguasai Matematik. Dalam beberapa tahun lagi, aku akan berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan agaknya ketika itu, aku akan mengajar anak-anak orang Barat pula.

Nampaknya dalam setahun dua ini, aku harus mula mengkaji silibus Matematik sekolah-sekolah di Barat untuk memudahkan aku merancang modul dan perancangan mengajar untuk subjek Matematik berdasarkan silibus orang-orang Barat. Atau mungkin aku akan membuka kelas Bahasa Melayu di universiti, atau mungkin aku akan fokus terhadap pengkajian kejuruteraan perisian sahaja.

Buat masa ini, fokus aku adalah terhadap modul-modul khas untuk pelajar lemah Matematik. Modul-modul ini akan memudahkan pembelajaran, pengajaran dan sesi tutorial yang akan dilaksanakan. Seperti biasa, aku amat menjaga kualiti masa dan tenaga. Bilangan pelajar yang kuambil sangat sedikit. Ini kerana, mengajar tuisyen adalah satu hobi untukku selain untuk mengkaji tingkah laku pelajar pada zaman ini terhadap pembelajaran secara lebih dekat.

No comments:

Post a Comment