Friday, March 13, 2009

CATATAN PERTAMA seorang tutor

Nama saya Cikgu Amien. Sehingga kini, saya masih tidak begitu jelas kenapa saya begitu berminat untuk mengajar. Setakat ini, saya cuma menganggap keinginan untuk mengajar ini, sebagai satu naluri semula jadi dalam diri saya. Saya ingin melihat manusia menjadi semakin pandai dan semakin bijak mengatur kehidupan di dunia, demi kebaikan semua. Dahulu, saya pernah mengajar di rumah anak-anak yatim. Dunia pendidik seolah-olah sudah bersebati dengan jiwa saya. Saya pernah bekerja sebagai seorang Eksekutif Pemasaran dalam bidang pelancongan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Namun jiwa saya tetap pada bidang pendidikan. Saya berhenti dan bertukar kerja. Saya menjadi guru tuisyen.

Saya mula mengajar subjek Matematik ketika saya masih di bangku sekolah. Kemudian berlanjutan sehingga ke universiti. Saya seorang mahasiswa, dan saya juga seorang guru tuisyen. Ketika itu bayaran yang saya kutip untuk satu jam sangat rendah. 80 sen ke 90 sen sahaja untuk satu jam. Asalnya saya bukanlah seorang yang pandai dalam subjek Matematik. Tetapi guru-guru Matematik terus menjadi sumber inspirasi saya. Suatu hari, saya mendapat A dalam subjek Matematik dengan markah 100% betul. Saya cukup gembira dan bersyukur.

Selepas tamat SPM, saya masih ke sekolah untuk mengajar subjek Matematik. Saya tahu saya bukanlah seorang genius dalam bidang Matematik, tetapi kesusahan mempelajari Matematik, menyebabkan saya sentiasa suka untuk mengajar Matematik kepada orang lain. Saya belajar dalam keadaan yang susah, dan selama itu saya mencari kaedah-kaedah yang mudah, untuk memahami Matematik.

Saya pernah berkata kepada diri saya sendiri. Saya mahu hidup sebagai seorang pendidik dan mati pun sebagai seorang pendidik. Barangkali ini adalah detik permulaan pengabdian diri saya ke dalam dunia pendidikan.

Semasa saya masih belajar di universiti. Salah seorang pensyarah memperkenalkan saya kepada pensyarah-pensyarah yang lain. Kata-katanya sungguh menyentuh hati saya. Pensyarah itu berkata, "Inilah Amien. Cikgu Amien. Dia seorang yang sangat cintakan dunia pendidikan."

Mendengar kata-kata pensyarah itu, saya tiba-tiba berasa sangat malu. Malu, kerana saya rasa perkataan-perkataan yang mengisi ruang-ruang ayat itu sangat besar jurangnya dengan diri saya.

Sepanjang masa, saya beranggapan diri saya masih jauh dari sempurna, masih terlalu jauh untuk bergelar murabbi. Saya cuma seorang guru tuisyen. Kerja saya mencari jam-jam terluang yang sanggup diamanahkan oleh ibu bapa pelajar-pelajar, kepada saya untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baik pengisian ilmu.

Saya akan terus menjadi guru tuisyen jika saya tidak dapat menjadi guru tetap, pendidik tetap atau seorang pensyarah tetap.

Hidup saya telah didedikasikan untuk bidang pendidikan. Saya ingin syahid sebagai seorang pendidik. Sebagai seorang pemimpin berilmu. Saya akan berasa puas hati jika saya dapat mencapai matlamat ini. Saya cuma berharap dengan setiap apa yang saya lakukan ini, akan mendapat keredhaan daripada Allah.

Saya mohon petunjuk-Nya, supaya membawa saya ke jalan yang benar. Saya masih benar-benar cetek ilmu pengetahuan dan pengalaman. Maka sepanjang masa saya ingin berlindung di bawah kekuasaan dan kasih sayang-Nya.

No comments:

Post a Comment