Sunday, March 15, 2009

CATATAN KEDUA seorang tutor - Kaedah Mengajar

Kelas saya yang kedua ini berlangsung seperti biasa. Berdasarkan diagnostik pada minggu lepas yang telah saya jalankan ke atas pelajar terbabit, maka pada minggu ini saya mendedahkan pelajar tersebut kepada kaedah baru. Saya menggunakan Kaedah Mahir Sifir ciptaan saya sendiri untuk memboleh pelajar tersebut menguasai pelbagai topik Matematik secara serentak. Sebelum ini saya banyak mencipta kaedah-kaedah baru dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Semasa saya berusia sekitar 18 tahun, saya pernah mengajar adik saya (yang ketika itu bakal menghadapi peperiksaan PMR). Saya menggunakan kaedah yang lain. Kaedah ini diilhamkan daripada kesukaran saya untuk menguasai topik-topik tertentu Matemtik semasa di peringkat PMR dan SPM. Kaedah itu membolehkan adik saya boleh menjawab soalan-soalan SPM dengan mudah walaupun dia baru berada di tingkatan 2. Dia berjaya menjadi pelajar terbaik SPM dan mendapat A untuk subjek Matematik dan Matematik Tambahan. Kemudian dia melanjutkan pengajian ke matrikulasi dan selepas itu, dia mendapat tawaran belajar ke Russia.

Sekitar tahun 2004, saya pernah mengajar seorang pelajar tingkatan 2 yang tidak tahu membaca. Pelajar ini juga cuma mengenali nombor pada peringkat asas. Markah ujian yang biasa diperolehinya ialah E atau gagal. Saya memahami kelemahannya dari aspek kecerdasan verbal. Kelebihan pelajar ini ialah pengamatannya yang tinggi terhadap objek-objek dan simbol-simbol. Saya merekabentuk satu teknik pengajaran dan pembelajaran khusus untuk pelajar ini. Pada ujian yang seterusnya dia berjaya mendapat B. Ini satu kegembiraan buat saya sebagai seorang pendidik.

Tugas-tugas meningkatkan kemahiran menguasai Matematik barangkali tidak jauh berbeza dengan kerja-kerja mencipta atau menyediakan suatu resepi masakan. Jika seorang tukang masak akan cuba mencipta menu masakan yang memiliki khasiat yang seimbang dan enak untuk dimakan sehingga habis, maka proses pengajaran dan pembelajaran itu pula hendaklah dapat dijadikan sebagai satu aktiviti yang menarik dan mendorong motivasi pelajar untuk belajar.

Pelajar tuisyen di rumah saya ini mempunyai minat yang mendalam. Sebagai tanda menghargai minat belajarnya terhadap Matematik, saya selalu menambah 1 jam percuma kepadanya. Bagi setiap 50 minit, aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan direhatkan sekitar 5-10 minit. Saya tidak mengajar secara berterusan. Saya mengutamakan fokus dan persediaan belajar bagi seseorang pelajar. Saya juga lebih suka mendengar pelajar memberikan pendapatnya terhadap konsep dan cara penyelesaian yang boleh dirancang untuk menjawab soalan-soalan Matematik. Mendengar pandangan dan jawapan pelajar membolehkan saya menilai tahap kefahamannya bagi satu-satu konsep.

Saya juga menekankan kepentingan pembuktian Matematik. Pelajar saya pernah membuat tanggapan awal dengan mengatakan jawapan A yang betul dan jawapan B, C dan D pula adalah salah. Saya memintanya menjalankan pembuktian bagi setiap jawapan pilihan yang diberikan. Hasilnya dia mendapati jawapan D yang dianggapnya salah itulah yang betul, dan bukannya A. Dia tersenyum sendirian dan selepas itu dia mengangguk-angguk tanda faham betapa pentingnya pembuktian Matematik dalam menentukan jawapan yang terbaik atau jawapan yang betul. Hal ini serupa dengan tujuan-tujuan kita menjalankan kajian saintifik bagi menentukan tahap atau keadaan perkara yang diuji. Tidak boleh main agak-agak sahaja, mesti berfikir secara Matematik. Pola pemikiran Matematik mesti ada dalam diri seorang pelajar yang mempelajari Matematik bagi memudahkannya memahami konsep-konsep Matematik.

Menurut ibunya, pelajar ini seorang yang sangat pendiam. Namun pada kelas kedua ini, saya mendapat pelajar ini semakin suka dan seronok untuk memberikan pendapat. Ini satu petanda yang baik. Pelajar ini tinggal bersendirian di rumah. Ibu bapanya bekerja sepanjang hari dan tinggal berjauhan kerana tempat kerja yang berbeza. Oleh itu, sebagai tutor, saya perlu bijak mengatur bicara dengan pelajar ini supaya cuaca emosinya dan kemahiran berkomunikasinya dapat berkembang dengan baik.

Potensi dan emosi merupakan dua perkara biasa. Setiap pelajar mempunyai potensi yang berbeza. Pelajar terbaru yang diamanahkan kepada saya ini memiliki kelemahan dalam aspek pendaraban. Saya melakukan diagnostik sepintas lalu untuk mengesan peningkatan yang ada pada dirinya.

Mana-mana kemahiran Matematik yang lemah dan topik-topik Matematik yang gagal dikuasainya, akan menjadi perkara pilihan saya. Pada pandangan saya, seorang tutor Matematik bertanggungjawab membantu mempertingkatkan tahap penguasaan seseorang pelajar terhadap kemahiran dan kefahaman terhadap konsep Matematik yang telah dipelajarinya di sekolah. Namun, jika pelajar itu mempunyai potensi yang tinggi (dalam aspek kecerdasan logik matematik), maka saya akan mengajarnya topik-topik yang baru. Pada masa yang sama, saya juga akan memeriksa tahap-tahap penguasaan pelajar terbabit terhadap topik-topik Matematik yang terdahulu dari semasa ke semasa.

Saya menggunakan Sukatan Pelajaran Matematik KBSM sebagai panduan utama. Setiap objektif pengajaran dan pembelajaran bagi setiap topik diteliti. Skema-skema jawapan Matematik peringkat PMR dan SPM juga telah saya kumpulkan. Sahabat-sahabat saya yang terdiri daripada guru Matematik, penanda kertas peperiksaan PMR dan SPM untuk subjek Matematik, ketua panitia Matematik dan lain-lain banyak membantu.

5 comments:

  1. hello...saya seorang pelajar yang bakal menduduki spm pada tahun ini..saya dapati saya agak lemah dalam matematik..saya suka matematik pada zahirnya..tetapi ianya agak susah..

    ReplyDelete
  2. haiiiiii.... saya ingin mengetahui cara/ kaedah yg dimaksudkan anda utk menguasai subjek add-maths supaya menjadi lebih mudah

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum..boleh berikan formula matematik untuk saya secara percuma melalui email?. saya adalah seorang pelajar yang amat lemah dalam pelajaran Matematik, dan tahun depan saya akan menghadapi PMR..Saya mohon kepada saudara seikhlas hati saya.

    ReplyDelete
  4. hello...saya seorang pelajar sekolah rendah yang akan menghadapi upsr pada tahun ini..saya sangat lemah pada pelajaran matematik?//?/???lagipun ianya susah bagi saya untuk menjawabnya....

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,saya akan menduduki UPSR pada tahun hadapan,tetapi saya seperti tidak bersedia kerana ujian prestasi 1 saya gagal,dan saya rasa tidak akan lulus UPSR tahun hadapan,saya memang suka math,tapi saya mcm tak tahu nak selesaikan masalah ketika Ujian Mathematics...

    ReplyDelete